.

.

Williams akhirnya disingkirkan


KRITIKAN demi kritikan yang diterima ketua jurulatih, Eric Williams terhadap persembahan terumbang-ambing pasukan dalam kempen Liga Malaysia musim ini akhirnya membawa kepada penyingkiran pengendali berbangsa Inggeris itu.

Pemecatan bekas pengendali Yangon United itu disahkan sendiri oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi kepada Utusan Malaysia semalam.

Williams sebelum ini mengeluh kerana tidak diberikan peluang untuk memilih pemainnya sendiri ekoran daripada ketika tiba di Melaka, hampir keseluruhan pemain hanya menanti untuk menandatangani kontrak.

Namun, keluhan Williams itu tidak banyak membantunya ketika di Melaka apabila dia direhatkan menjelang pertemuan dengan Felda United, akhir bulan lalu kerana faktor kesihatan.

Terma 'direhatkan' dalam kancah bola sepak tempatan sememangnya sinonim kepada pemecatan dan perkara itu akhirnya terbukti semalam.

“Kami telah memaklumkan mengenai hal ini kepada Williams bahawa Melaka United tidak akan meneruskan khidmatnya bermula hari ini.

“Antara faktor utama ialah melihat kepada keserasian yang gagal dibentuk antara jurulatih dan pemain sedikit sebanyak memberi kesan kepada pasukan.

“Berdasarkan prestasi semasa pasukan yang kian goyah, kami perlu melakukan perubahan drastik dengan segera untuk memastikan Melaka United mampu kembali memberi saingan untuk kekal dalam Liga Super,” kata Mohd. Yusoff.

Pelantikan Williams sebelum ini mendapat kritikan pemerhati bola sepak tempatan kerana mereka berpendapat bahawa Melaka United sewajarnya mengekalkan Mat Zan Mat Aris yang membawa kejayaan segera dalam tempoh dua tahun, menjuarai Liga FAM dan Liga Perdana.

Harapan yang tinggi diletakkan di bahu Williams ternyata sekadar menjadi beban kepada pengendali berusia 61 tahun apabila beliau gagal menerapkan falsafah bola sepaknya dalam kalangan pemain.

Di samping itu, Williams juga dilihat gagal membentuk keserasian antara pemain serta didakwa tidak mempunyai hubungan baik dengan staf kejurulatihan.

Perkara itu diterjemahkan dalam keputusan hambar sepanjang musim ini apabila Melaka United  sekadar meraih sebelas mata hasil dua kemenangan dan lima seri daripada 12 perlawanan Liga Super dan kini berada dalam zon penyingkiran.

Pemecatan Williams itu bererti bakal ada pengendali baharu akan tiba di negeri ini dan Mohd. Yusoff berkata perkara itu akan dimuktamatkan dalam tempoh terdekat.

“Kami sedang meneliti senarai nama jurulatih yang akan diberi kepercayaan untuk membimbing dan menyelamatkan pasukan ini daripada terus menjadi mangsa kekalahan,” ujarnya.

Beberapa nama telah dikaitkan dengan jawatan tersebut ialah Mohd. Azraai Khor Abdullah, K. Devan dan Datuk K. Rajagobal.

Jadi, siapa pengendali baharu Melaka United? Siapa pilihan anda? Thank you Williams!

Foto: Four Four Two
Powered by Blogger.