.

.

Terkulai layu di Darul Aman


TEMPANG tanpa tiga tonggak import, Melaka United dibaham 4-0 oleh Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Di atas kertas sememangnya tuan rumah merupakan pilihan dalam perlawanan ini keputusan yang dicatatkan pelawat agak mengejutkan dan diluar jangkaan.

Selepas seri akibat gol lewat permainan di Stadium Negeri Pulau Pinang, Rabu lalu, Melaka United bertandang ke Alor Setar dengan misi membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari gelanggang lawan.

Namun, Ketua Jurulatih, Eric Williams membuat kejutan dalam kesebelasan utamanya apabila mengetepikan tiga tonggak import, Ilija Spasojevic atau Spaso, Godwin Antwi dan Jeon Woo Young.

Sebaliknya, pemain berpengalaman seperti Isma Alif Mohd. Salim, Mohd. Nazri Ahmad dan R. Surendran dalam kesebelasan utamanya.

Dalam aksi di Darul Aman, Melaka United terlebih dahulu berpeluang memperoleh jaringan menerusi cubaan Mohd. Amri Yahyah yang menerima hantaran Sergio Aguero dari sebelah sayap kiri.

Namun, Kedah yang membariskan kesemua pemain import menentang Melaka United berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-33 menerusi jaringan Ken Ilso Larsen yang bijak menyudahkan hantaran cantik Sandro da Silva.

Mohd. Amri hampir menyamakan kedudukan buat Melaka United pada minit ke-44 tetapi sepakan percumanya hanya beberapa inci melepasi palang gol Kedah.

Pada awal babak kedua, Kedah menggandakan jumlah jaringan kali ini menerusi Sandro yang tenang menyempurnakan sepakan penalti, berpunca daripada kekasaran yang dilakukan terhadap Ilso pada minit ke-48.

Sandro sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pasukan selatan tanah air itu apabila meledak gol ketiga Kedah, hasil hantaran silang Syazwan Zainon pada minit ke-79.

Ketika perlawanan seakan kekal dengan keputusan berkenaan, Ken Ilso menambah derita Melaka United pada minit ke-92 selepas menguis sepakan percuma Sandro.

Kekalahan ini meletakkan Melaka United di tangga ke-10 Liga Super mengatasi Sarawak dan Pulau Pinang di dasar liga.

Foto: Utusan Online
Powered by Blogger.