.

.

Melaka United, Selangor sama handal

DEBUT... Yashir Pinto (kiri) cuba melepasi kawalan Saiful Ridzuwan Selamat dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam tadi.
SHAH ALAM 18 Jun - Melaka United berjaya mengikat tuan rumah, Selangor, 2-2, dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi.


Selangor terlebih dahulu berada di depan menerusi penyerang, Patrick Ronaldinho yang mudah menanduk masuk sepakan percuma pada minit ke-8 perlawanan.

Tersentak dengan jaringan itu, Melaka United bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-18 hasil tolakan mudah pemain sayap, R. Surendran yang berpunca daripada kesilapan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Penyerang import baharu Melaka United, Yashir Pinto pastinya tidak akan melupakan debutnya apabila berjaya menjaringkan gol kedua pasukan selepas menolak masuk bola muntah Norazlan pada minit ke-63.

Gol tersebut tidak mematahkan semangat tuan rumah yang terus menggandakan asakan dan usaha tersebut berhasil apabila dianugerahkan penalti pada minit ke-72.

Mouro Olivi tidak mempunyai masalah menewaskan penjaga gol Melaka United, Syazwan Yusof yang menerpa ke arah berlawanan untuk gol penyamaan Selangor.

Ini merupakan perlawanan pemanas badan kedua-dua pasukan selepas kempen Liga Malaysia berehat beberapa minggu bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa.


Untuk perlawanan ini, Mat Zan Mat Aris memberi peluang kepada semua muka baharu beraksi dengan rata-rata daripada mereka masih cuba mencari kecergasan dan keserasian bersama rakan sepasukan.

Yasir Pinto dan Alex Tudose berjaya mempamerkan kualiti mereka untuk diserapkan ke dalam pasukan namun ketiadaan Labinot Harbuzi atau Labi pastinya dirasai bagi menggerakkan jentera tengah.

Sementara itu, empat muka baharu tempatan, Ferris Daniel, Saiful Mustafa, Reeshafiq Alwi dan Ahmad Khuzaimie perlu mempamerkan aksi lebih mantap dalam perlawanan berikutnya jika mengidam berada dalam kesebelasan utama pasukan.
Powered by Blogger.