.

.

TFC dedah kepincangan anak buah Almeida


Menguasai bola dan kawasan tengah namun kebuntuan menembusi pertahanan Terengganu FC (TFC) menyebabkan Melaka United berputih mata di laman sendiri.

Membariskan skuad terkuat, anak buah Eduardo Almeida gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Hng Jebat apabila tewas mudah 0-3 kepada lawan dari Pantai Timur itu.

Untuk rekod, ketiga-tiga gol TFC diperoleh menerusi gerakan serangan balas pantas, jelas memperlihatkan kurangnya konsentrasi di bahagian pertahanan, diburukkan lagi dengan ketumpulan jentera serangan.

Mohd. Suffian kebal di gawang TFC
Pada awal babak pertama menyaksikan Melaka United menguasai perlawanan namun gagal menembusi keampuhan barisan pertahanan pelawat yang dikemudi, Igor Zonjic.

Penyerang import TFC, Kipre Tchetche terlebih dahulu menguji kekebalan Mohd. Zamir di gawang menerusi cubaan berbahaya dari dalam kotak penalti sebelum ditumbuk keluar penjaga gol Melaka United.

Namun, gawang tuan rumah akhirnya dibocori pada minit ke-26 apabila Tchetche mudah menampan masuk bola hantaran silang Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri dari sebelah kiri untuk gol pertama TFC.

Melaka United mengatur beberapa gerakan berbahaya khususnya di bahagian sayap menerusi R. Surendran dan R. Gopinathan yang kerap bertukar posisi untuk mencipta gerakan berbahaya.

Zubovich dikawal rapi pertahanan TFC sepanjang perlawanan.
Yahor Zubovich hampir sahaja menyamakan kedudukan pada minit ke-54 apabila tandukannya sekadar singgah di palang gol sementara tindakan susulan Gopinathan dan Zubovich berjaya diselamatkan Mohd. Suffian Abdul Rahman.

Tchitche sekali lagi mencemaskan pertahanan Melaka United selepas berjaya memperdaya Nicholas Swirad namun cubaannya pada minit ke-64 digagalkan oleh kecemerlangan Mohd. Zamir di gawang tuan rumah.

Tersentak dengan cubaan pelawat, S. Chanturu yang dimasukkan menggantikan S. Sivanesan melakukan cubaan terus ke gawang TFC namun ditepis Mohd. Suffian, rembatan susulan G. Puaneswaran dari sebelah kanan sedikit tersasar.

Kelekaan barisan pertahanan Melaka United dihukum apabila gerakan serangan balas TFC menerusi Tchitche yang mudah memperdaya dua pertahanan tuan rumah sebelum merembat masuk melepasi Mohd. Zamir untuk gol kedua peribadinya.

Menguasai bahagian tengah gagal dimanfaatkan Melaka United.
Lee Andre Tuck menambah derita Melaka United pada minit ke-79 sekali lagi menerusi gerakan serangan balas hasil hantaran cantik Bruno Suzuki.

Satu kekalahan besar tidak dijangka penyokong Melaka United yang hadir memberikan sokongan padu di Stadium Hang Jebat.

Kekalahan ini meletakkan Melaka United di kedudukan keenam Liga Super sementara TFC melonjak ke tangga kedua dengan 11 mata.

MELAKA UNITED: Zamir, Puaneswaran, Thicot, Swirad, Khair, Sivanesan (Chanturu), Jeon, Surendran (Fauzi), Gopinathan (Fakri), Zubovich

Foto: MUSA
Powered by Blogger.