.

.

Melaka United ikat Azmi Muslim


Seperti yang dijangka, Melaka United tidak menunggu lama dalam pasaran perpindahan musim ini apabila terus membawa muka baharu bagi memperkukuhkan pasukan.

Terbaharu, pertahanan berpengalaman PKNS FC, Mohd. Azmi Muslim menandatangani kontrak bersama Melaka United.

Mohd. Azmi yang memulakan karier bersama pasukan UPB-MyTeam boleh beraksi di bahagian pertahanan kiri yang mana hantaran silang merupakan antara senjata utamanya dalam merencanakan serangan pasukan.

Pemain berusia 31 tahun ini pernah beraksi untuk Kedah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Johor Darul Ta'zim (JDT), Felda United, Selangor sebelum ke PKNS FC di bawah kendalian E. Elavarasan.

Melaka United menerusi kenyataan berkata, kemasukan Mohd. Azmi dapat membantu membentuk pertahanan ampuh menerusi pengalaman luas pemain tersebut dalam kancah Liga Malaysia.

"Melaka United menambah jentera pertahanan bagi menghadapi saingan Liga Super 2018 dengan menandatangani Azmi Muslim dari PKNS FC. Semoga pengalaman beliau dapat memperkuatkan lagi bahagian pertahanan Melaka United," katanya hari ini.

Sesi menandatangani kontrak itu diadakan di Bilik Media Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) dan disaksikan oleh Ketua Jurulatih Melaka United, Eduardo Almeida.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.