.

.

Lulus lesen FAM, perjalanan masih jauh


Selepas lama menunggu, hasrat Melaka United untuk mendapatkan lesen kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya terlaksana apabila permohonan pasukan ini bersama dua kelab lain, Kedah dan Kelantan diluluskan hari ini.

Keputusan tersebut nyata memberikan kelegaan buat ketiga-tiga pasukan kerana kelulusan lesen tersebut membolehkan mereka beraksi dalam kancah Liga Super musim depan.

Tahniah diucapkan kepada pengurusan Melaka United kerana berjaya menyelesaikan isu perlesenan ini sebaik sahaja tamat kempen Liga Malaysia namun perjalanan pasukan masih jauh lagi.

Ini kerana, lesen FAM atau Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang dikeluarkan ini adalah sah untuk satu tahun sahaja iaitu bagi musim 2018 sahaja.

Sepanjang tempoh berkenaan, jika ada sebarang pasukan melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017 atau mempunyai kes berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik.


Untuk itu, pengurusan Melaka United perlu membuka mata untuk membuat permohonan lesen AFC secepat mungkin dengan menepati segala kriteria yang telah ditetapkan kerana difahamkan syarat permohonan lesen FAM adalah lebih ketat berbanding AFC.

Jadi, apalah gunanya jika ada 'orang penting' Melaka United yang duduk di kerusi peringkat tertinggi FAM jika gagal memastikan pasukan yang dikendalikannya gagal mendapatkan lesen AFC berbanding empat pasukan lain yang telah pun lebih awal mendapatkannya.

Untuk rekod, sebanyak tujuh daripada 12 kelab yang beraksi dalam Liga Super 2017 iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang, Perak, PKNS, Pulau Pinang, Selangor dan T-Team telah berjaya lulus bagi permohonan mendapatkan lesen FAM.

Daripada tujuh pasukan yang telah mendapat lesen dari First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM sebelum ini, empat daripadanya iaitu JDT, Pahang, PKNS dan Selangor turut lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kelab AFC bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2018 atau Piala AFC 2018 sekiranya layak.

Bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017.

10 lulus pelesenan kelab FAM: 

- JDT (lesen AFC)
- Pahang (lesen AFC)
- Selangor (lesen AFC)
- PKNS FC (lesen AFC)
- Perak
- Kedah
- Kelantan
- Melaka United
- T-Team FC
- Pulau Pinang

Foto: Utusan Online, FAM
Powered by Blogger.