.

.

Gopi akui adakan rundingan bersama Melaka United


Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang digugurkan, R. Gopinathan mengakui telah mengadakan perbincangan bersama Melaka United bagi mengintai lebih peluang beraksi dalam kesebelasan utama.

Bercakap kepada Bharian Online, Gopinathan atau Gopi berkata, walau bagaimanapun dia belum membuat sebarang keputusan berhubung masa depannya.

"Saya ingin menyertai pasukan yang dapat memberi peluang bermain sekerap mungkin untuk mengembalikan prestasi," katanya semalam.

Gopi beraksi untuk Selangor pada 2016 namun selepas semusim bersama The Red Giants, dia menyambut tawaran menyarung jersi skuad Harimau Selatan.

Gopi beraksi baik bersama Selangor sebelum berhijrah ke selatan tanah air.
Bagaimanapun, pemain sayap itu gagal menyerlah dan hanya tampil beraksi penuh 90 minit ketika perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang kelab Myanmar, Magwe FC yang menyaksikan Gopi turut menjaringkan gol buat JDT.

Secara keseluruhan, Gopi hanya beraksi dalam lima perlawanan, tiga dalam saingan Piala AFC serta dua dalam Liga Super dengan jumlah tempoh keseluruhan berada di dalam padang adalah 286 minit.

Selebihnya, Gopi kerap memanaskan bangku simpanan di bawah kendalian dua ketua jurulatih berbeza, Mario Gomez dan Ulises Morais.

Foto: BHOnline, FourFourTwo
Powered by Blogger.