.

.

Dimana skuad juara Liga Perdana musim lalu?


Musim 2016 merupakan antara tahun gemilang bola sepak Melaka United apabila berjaya muncul juara Liga Perdana, kejuaraan liga kedua berturut-turut selepas merangkul trofi Liga FAM pada tahun sebelumnya.

Pasukan yang diterajui ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris itu mencipta kejutan menjuarai Liha Perdana seterusnya layak ke Liga Super, biar pun kebanyakan pemerhati bola sepak tempatan meramalkan, Melaka United hanya mampu menamatkan saingan di kelompok pertengahan liga sahaja.

Namun, skuad bimbingan bekas pengendali Terengganu itu menterjemahkan keputusan sebaliknya apabila gah dinobatkan sebagai juara  liga selepas mengenepikan saingan pasukan berstatus kelab, PKNS di tangga kedua dengan perbezaan dua mata.

Selepas hampir setahun berlalu, pastinya ramai yang tertanya-tanya di manakah perginya skuad 'sang juara' yang mencipta sejarah menjuarai Liga Perdana tersebut. Berikut kami berikan rangkuman mengenai skuad ini.

Mat Zan Mat Aris (Ketua Jurulatih)


Keputusan pengurusan Melaka United tidak menyambung kontrak pengendali berusia 59 tahun itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk penyokong dan pengamal media namun Mat Zan kemudiannya tidak menoleh ke belakang apabila menerima tawaran mengendalikan pasukan berwajah baharu, Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers).

Diberikan tanggungjawab besar membawa pasukan milik taikun penerbangan tambang murah, Tan Sri Tony Fernandes ke Liga Perdana, Mat Zan bagaimanapun gagal membawa skuadnya ke Liga Perdana dan tanggal 15 Oktober lalu, Mat Zan disingkirkan kelab berkenaan.

Ilija Spasojevic


'Spasogoal' merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan. Ketajaman penyudah yang dimiliki Spasojevic pastinya menjadi igauan ngeri buat pertahanan dan penjaga gol lawan.

Menjaringkan 27 gol dalam 24 perlawanan bersama Melaka United, pertukaran ketua jurulatih dan pelbagai isu dalaman pasukan memberi impak kepada persembahannya musim ini sebelum dilepaskan Melaka United.

Spasojevic akhirnya mengambil keputusan kembali ke Liga Indonesia bersama Bhayangkara dan  ketika ini penyerang berasal dari Montenegro itu telah menjaringkan 9 gol dalam 14 penampilan  bagi meletakkan pasukannya di puncak liga.

Yashir Islame Pinto


Tiba di pertengahan musim di Melaka United, Yashir Islame Pinto berjaya membentuk keserasian dengan baik bersama Spasojevic namun pada akhir musim masa depan penyerang antarabangsa Palestin ini tidak diuruskan dengan baik.

Pemain berusia 26 tahun ini kemudiannya berhijrah ke utara tanah air bersama Perak dan selepas semusim, Yashir telah menjaringkan enam gol dalam 19 perlawanan bersama The Bos Gaurus.

Labinot Harbuzi


Gelaran budak nakal diberikan penyokong kepada pemain berasal dari Sweden, Labinot Harbuzi atau Labi. Biarpun ragamnya di luar padang adakalanya menjengkelkan namun apabila di dalam padang, Labi menterjemahkan watak sang jeneral.

Visi hantaran yang mengelirukan yang mampu memerangkap pertahanan lawan membuatkan Labi muncul antara pemain yang kerap diawasi bagi memastikan tiada hantaran berbahaya dihantar kepada penyerang Melaka United.

Kini, Labi dilaporkan masih lagi ejen bebas tanpa sebarang kelab sejak meninggalkan Melaka United namun, dia turut memantau perkembangan pasukan biarpun tinggal beribu batu jauh dari negara ini.

Alexandru Tudose


Muka baharu yang dibawa masuk pada pertengahan musim bagi mencipta benteng ampuh Melaka United. Tidak begitu konsisten di benteng pertahanan dan akhirnya dilepaskan pada akhir musim.

Tudose kemudiannya dilaporkan menyertai kelab divisyen dua Romania, ASA Tirgu Mures namun difahamkan pertahanan tengah ini meninggalkan kelab akhir musim ini dan kini menjadi ejen bebas.

Balsa Bozovic


Seorang lagi pemain tengah kreatif yang dimiliki Melaka United musim lalu namun siri kecederaan yang menimpa membuatkan pasukan terpaksa mengenepikannya bagi memberi peluang kepada Yashir Islame Pinto menggantikan beliau.

Bozovic atau lebih mesra disapa Balsa selepas itu menyertai pasukan divisyen satu Montenegro, FK Iskra Danilovgrad tetapi kemudiannya beralih angin mencari lebih aksi bersama satu lagi pasukan, FK Zeta.

FK Zeta, Balsa kini berada dikedudukan keempat liga sementara Balsa pula telah menjaringkan dua gol dalam 16 penampilan bersama kelab berkenaan.

Shin Jaepil


Masih ingatkah anda pada nama ini? Shin Jaepil merupakan pemain tengah bertahan yang diubah posisinya kepada pertahanan tengah ketika bersama Melaka United.

Jaepil yang disingkirkan pada pertengahan musim kini menyertai pasukan Liga Perdana, MISC-MIFA dan kini menjadi tonggak utama pasukan, berjaya membantu kelab daripada tersingkir ke Liga FAM musim ini selepas menamatkan kempen di tangga ke-10 daripada 12 pasukan.

Nurshamil Abd. Ghani


Muncul pemenang Kasut Emas Liga FAM 2015 dengan menjaringkan 17 gol dalam 27 perlawanan namun pada tahun berikutnya, Nurshamil lebih banyak memanaskan bangku simpanan dan menjadi 'super-sub'.

Selepas pasukan dipromosikan ke Liga Super, Nurshamil kemudiannya dipinjamkan ke Selangor tetapi dengan peluang yang terhad bersama Red Giant, pastinya membataskan perkembangan karier penyerang berasal dari Melaka ini.

Ahmad Solehin Mamat


Ahmad Solehin Mamat menyertai Melaka United dari Harimau Muda namun ketika di Melaka United, beliau dan rakan sepasukan, Muhammad Syazwan Yusoff kerap bertukar-tukar menjadi benteng terakhir pasukan.

Dilepaskan sama seperti pemergian Mat Zan, Ahmad Solehin menjadi tonggak Kuala Lumpur yang dinobatkan sebagai juara baharu Liga Perdana 2017 mengenepikan cabaran Terengganu dengan perbezaan jaringan.

Pemain yang bersama pasukan lain:-


Muhammad Syazwan Yusoff (Terengganu), Mohd. Fadzley Rahim (PJ Rangers), Mohd. Alif Shamsudin (Felcra - Pinjaman), Mohammad Abdul Aziz Ismail (Kelantan), Fiqri Azwan Ghazali (Kuala Lumpur), Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman (Felda United), Mohd. Hazri Rozali (Ejen Bebas), R. Barath Kumar (PJ Rangers), See Kok Luen (PJ Rangers), Mohd. Iskandar Hanapiah (PJ Rangers), Reeshafiq Alwi (MOF FC), Mohd. Ferris Danial (Terengganu)

Dan mereka yang masih kekal bersama Melaka United...


Muhammad Syawal Norsam, Ahmad Khuzaimie Piee, R. Surendran, Jasmir Mehat, Khair Jeffri JonesAhmad Ezrie Shafizie

Foto: MUSA, PBM, KLFA, Nurshamil Abd Ghani, Shin Jaepil, Alexandru Tudose, PJ Rangers, Media Sosial
Powered by Blogger.