.

.

Pengadil 'rompak' kami - Mecinovic


KEPUTUSAN kontroversi pengadil dalam perlawanan antara Melaka United dan PKNS FC di Stadium Shah Alam malam tadi mencetuskan kemarahan bukan sahaja penyokong malah pemain pasukan bimbingan Eduardo Almeida.

Pertahanan import, Jasmin Mecinovic melahirkan rasa kecewa atas tindakan pengadil, Muhammad Nazri Nasaruddin yang berpihak kepada tuan rumah selepas mendakwa pemain berkenaan sengaja menampan bola menggunakan tangan di atas garisan gol.

Lebih mengejutkan, pertahanan berasal dari Serbia itu turut dilayangkan kad merah pada minit ke-68 sekali gus membuka peluang kepada PKNS menambah jaringan dan menyebabkan pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain bagi baki kira-kira 20 minit perlawanan.

Mecinovic menerusi akaun Facebooknya hari ini berkongsikan video insiden berkenaan kepada umum.


"Inilah saat apabila Melaka United 'dirompak' semalam. Sangat jelas niat pengadil dalam video ini.

"Dalam insiden ini, dia melayangkan kad merah dan menghadiahkan sepakan penalti. Kami tidak dapat mengembalikan dua mata yang 'dicuri' tetapi saya berharap pengadil akan lebih bermaruah dan mngakui kesilapan besar yang dilakukannya serta menarik kembali kad merah berkenaan," katanya.

Keputusan seri 1-1 itu tidak mengubah kedudukan Melaka United di zon penyingkiran, enam mata mengatasi Pulau Pinang di dasar liga.

Foto: Media Sosial
Powered by Blogger.