.

.

Semangat juang pemain kembali


DIPERKUATKAN dengan lapan muka baharu pada jendela perpindahan yang ditutup secara rasminya 11Jun lalu, Melaka United tekad bangkit dengan misi mencipta rekod tanpa kalah dalam baki saingan Liga Super musim ini.

Keyakinan itu dilaungkan Timbalan Presiden Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi yang berharap rombakan besar termasuk melantik ketua jurulatih baharu, Eduardo Almeida bakal menterjemahkan kejayaan pasukan.

"Saya dapat lihat perubahan positif ditunjukkan pemain baharu dan lama dalam dua aksi persahabatan menentang Negeri Sembilan dan Johor Darul Takzim (JDT) II sepanjang bulan Ramadan selepas meraih kemenangan dalam kedua-dua perlawanan itu," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama media di Stadium Hang Jebat hari ini. 

EDUARDO ALMEIDA (kiri) diberikan kepercayaan mengembalikan rentak kemenangan Melaka United.
Dalam pada itu, Mohd. Yussoff berkata, salah satu impak positif dapat dilihat dalam pasukan apabila pemain kembali menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk menang. 

"Semangat inilah yang kita cari-cari bagi memastikan Melaka United terus kekal dalam Liga Super musim depan," katanya.

Melaka United mengharungi musim hambar di Liga Super musim ini selepas hanya mengutip 11 mata dalam 13 perlawanan, menyaksikan pasukan itu terjerumus ke zon penyingkiran.

Pada jendela perpindahan baru-baru ini beberapa pemain diketepikan seperti Ilija Spasojevic, Godwin Antwi dan Sergio Aguero sementara lebih lima pemain tempatan turut angkat kaki menyertai pasukan baharu.

Susulan itu, Melaka United membawa masuk tiga pemain import baharu iaitu Mario Simic, Jasmine Mecinovic dan Felipe de Almeida Souza serta lima pemain tempatan termasuk tiga dari JDT II.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.