.

.

Sayonara Wak Am!


SUKAR untuk menterjemahkan perasaan apabila mendengar perkhabaran penyerang Melaka United, Mohd. Amri Yahyah bakal meninggalkan pasukan pada jendela perpindahan nanti.

Rasa sedih, terkilan dan gembira bergaul sebati melihat Amri yang merupakan penyerang terbaik Melaka United sehingga liga berhenti rehat beberapa minggu lalu itu menyertai pasukan kelahirannya, Selangor.

Dari satu sudut, perkhabaran ini adalah bukanlah satu berita baik kerana secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada skuad The Red Giants memperkukuhkan pasukan Lembah Klang itu.

Harus diingat, Amri turut membantu dalam beberapa kemenangan yang direkodkan pasukan sama ada menerusi jaringan mahu pun bantuan gol.

Namun, dari sudut lain, pemergian kapten kebangsaan itu memberikan satu 'nafas baharu' dalam bilik persalinan Melaka United kerana namanya yang cukup besar dalam kancah Liga Malaysia, berbanding pemain lain.

Baru-baru ini, timbul khabar angin mengenai ketidaksefahaman Amri dengan kapten, Ilija Spasojevic tetapi kedua-dua penyerang berkenaan segera menafikan pergeseran yang berlaku antara mereka.

Mungkin ini merupakan salah satu daripada perancangan pengurusan pasukan kendalian ketua jurulatih, Eric Williams yang mahu melakukan rombakan dalam skuad sedia ada dalam usaha mengekalkan Melaka United dalam Liga Super musim depan.

Apa yang pasti, jendela perpindahan ini menyaksikan Williams bakal membawa masuk beberapa muka baharu termasuk tonggak import dalam usaha memperkuatkan pasukan untuk kekal relevan bersaing bersama pasukan elit lain.

Masakan tidak, pengendali berasal dari England itu tidak mempunyai banyak pilihan pemain yang sesuai dengan kaedah latihan dan taktikalnya, sedangkan pemilihan pemain dilakukan beberapa individu tertentu yang terlebih awal menyambar pemain-pemain berkenaan.

Apa yang dapat disimpulkan, sumbangan singkat Amri bersama Melaka United amat bermakna kepada pasukan dan diucapkan semoga maju jaya bersama pasukan kelahiran dalam baki kempen Liga Super dan Piala Malaysia nanti.

Sayonara Wak Am!

Foto: MUSA
Powered by Blogger.