.

.

Amri tak tahu mengenai kepulangan ke Selangor?


KETIKA gosip kepulangan semula penyerang, Mohd. Amri Yahyah sibuk diperkatakan di media massa dan media sosial, anak kelahiran Tanjung Karang itu berkata, beliau tidak tahu mengenai perpindahan berkenaan sehinggalah dihubungi beberapa pihak semalam.

Memetik laporan Bernama, Mohd. Amri berkata, dia tetap akan menjalankan tugas seperti biasa dan terus berbakti kepada Melaka United atau mana-mana pasukan selagi khidmatnya diperlukan. 

“Saya sendiri tidak mengetahui perkara itu (perpindahan) dan hanya menyedarinya menerusi pertanyaan daripada pelbagai pihak yang diterima dalam aplikasi WhatsApp malam tadi (semalam). 

“Tidak dinafikan, saya sememangnya pernah menyatakan hasrat untuk bersara di Selangor sebelum ‘menggantung but’ daripada dunia bola sepak,” kata kapten skuad kebangsaan itu, semalam.

Mohd. Amri pernah menjulang piala AFC, tiga kejuaraan Liga Super berturut-turut dan Piala FA bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), serta dua trofi Piala Malaysia, dua kejuaraan Liga Super serta tiga Piala FA sepanjang 12 tahun bersama Selangor. 

Persoalannya, bagaimana Mohd. Amri tidak tahu akan kepulangannya ke negeri kelahiran pemain yang digelar Wak Am itu sedangkan khabar angin mengenai perpindahannya bertiup kencang, malah diakui sendiri oleh pengurusan Melaka United.

MOHD. YUSOFF menjawab soalan daripada pengamal media dalam sidang media di Stadium Hang Jebat, semalam.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan khabar angin yang tersebar mengenai pelepasan pemain berpengalaman itu kembali bersama The Red Giants. 

Kata Mohd. Yusoff, perbincangan lanjut sedang diatur bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal mengenai perpindahan yang dibuat atas semangat persahabatan dalam arena bola sepak selain mengambil kira hasrat pemain itu untuk mengakhiri kariernya di negeri kelahirannya.

“Memang terdapat usaha pihak berkenaan yang mahu mendapatkan Mohd. Amri balik ke Selangor dan kami terbuka menerima hasrat mereka untuk membawa beliau kerana aura yang dimilikinya yang memulakan kerjaya bola sepak di negeri itu. 

“Ini mungkin penyelesaian terbaik yang memberi situasi menang-menang kepada semua pihak dalam merencana perjalanan pasukan masing-masing pada baki saingan Liga Malaysia musim ini,” kata Mohd. Yusoff.

Powered by Blogger.