.

.

Kapten tekad segera pulih daripada kecederaan


TERPAKSA diketepikan untuk aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, esok, kapten, Ilija Spasojevic tekad segera kembali pulih daripada kecederaan bagi perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), 9 April ini.

Spasojevic berkata dia terpaksa melupakan aksi penting menentang skuad Tok Gajah itu atas nasihat doktor bagi mengelakkan kecederaan yang dialaminya bertambah teruk.

"Doktor menasihatkan saya untuk melupakan perlawanan Sabtu ini kerana saya belum pulih sepenuhnya (daripada kecederaan).

"Saya bersedia diturunkan dalam perlawanan seterusnya menentang JDT pada 9 April ini dan berharap kesemua pemain yang turut mengalami kecederaan sempat pulih agar kami dapat bermain dengan kekuatan sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, penyerang berusia 29 tahun dari Montenegro itu bertekad meningkatkan lagi mutu permainan sekali gus dapat menggembirakan penyokong Melaka United yang sentiasa dahagakan kejayaan.

Selain itu, bapa kepada dua orang cahaya mata itu turut meminta agar penyokong Melaka United bersabar dan memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada pasukan.

"Saya berharap agar penyokong bersabar. Kami tahu mereka mahukan kemenangan dan kami sedang meningkatkan kualiti permainan untuk membuatkan mereka gembira," katanya.

Foto: Ilija Spasojevic
Powered by Blogger.