.

.

Dibelasah 4-0, kenapa tidak lakar kebangkitan 6-1 Sabtu ini


KEBANGKITAN menakjubkan yang dipamerkan gergasi Catalan, Barcelona ketika membenam Paris Saint Germain (PSG), 6-1 di Stadium Nou Camp, semalam merupakan salah satu keajaiban dalam sejarah kejohanan berprestij Eropah itu.

Dibelasah 4-0 di Stadium Parc des Princes dalam perlawanan pertama, ramai yang menjangkakan tiada ruang kebangkitan mampu dilakar anak buah Luis Enrique ke atas juara Perancis di bawah bimbinangan Unai Emery itu.

Namun, Enrique dalam sidang media sebelum perlawanan cukup optimis terhadap kemampuan anak buahnya untuk mencipta kejutan, menjaringkan enam gol menentang pasukan milik Qatar Sports Investment itu.

Kepercayaan penuh yang diberikan pengendali berbangsa Sepanyol itu terbalas apabila anak buahnya menterjemahkan kebangkitan bersejarah yang penuh dengan debaran dan emosi.

Kelab Catalan itu membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil dalam bola sepak asalkan mempunyai semangat, kemahiran dan disiplin yang tinggi bagi mencipta kemenangan.


Mungkin situasi yang dialami Barcelona sedikit berbeza daripada prestasi hambar yang dipamerkan Melaka United dalam beberapa aksi terbaharu namun, banyak yang boleh dipelajari daripada perlawanan di Stadium Nou Camp itu.

Secara amnya, setelah mengharungi lapan aksi Liga Super, pasukan bimbingan Dollah Salleh itu konsisten di depan gawang apabila berjaya meledak sebanyak 22 gol sementara skuad kendalian Eric Williams pula tumpul dengan 9 gol.

Biarpun Pahang musim ini berjaya meledak banyak gol, namun statistik menunjukkan bahawa pertahanan mereka tidak cukup ampuh apabila jumlah gol yang dilepaskan mereka telah mencecah dua angka, 10 kali dibolosi.

Biarpun gawang Melaka United telah dibolosi sebanyak 14 kali musim ini, namun jika segala kelemahan di setiap posisi berjaya diperbaiki, tidak mustahil skuad Sang Kancil ini mampu mencipta kejutan di Stadium Darul Makmur.

Kenapa perlu kata tidak jika pemain sedia ada dalam pasukan mampu melakukannya?


Jika dianalisa daripada pertemuan di Stadium Hang Jebat, baru-baru ini, gol-gol yang diperoleh pelawat kebanyakkannya berpunca daripada kerapuhan benteng pertahanan sambil jentera tengah yang kerap hilang punca.

Di bahagian serangan sebenarnya Melaka United mampu meledak banyak gol namun itu semua memerlukan masa bagi memastikan trio serangkai, Ilija Spasojevic, Sergio Aguero dan Mohd. Amri Yahyah dapat mencipta keserasian serta memperoleh umpanan berkualiti dari bahagian tengah.

Selain itu, setiap pemain tidak kira import mahupun tempat perlu mengetepikan ego masing-masing dengan memberikan keutamaan kepada pasukan mencipta kemenangan.

Lihat bagaimana corak dan taktikal yang dipamerkan Johor Darul Ta'zim ketika menundukkan Pahang di Stadium Larkin minggu lalu.

Williams sememang faham taktikal sesebuah pasukan dan bagaimana untuk menghadapinya namun perlu diingat bahawa bukan mudah untuk menerapkan falsafah permainan dalam masa yang singkat.

Memerlukan latihan dan pemain yang benar-benar tepat dalam mengikuti segala taktikal yang direncanakan pengendali pasukan.


Rantai dengan kemas pemain utama lawan dan pamerkan disiplin yang tinggi agar benteng kekal ampuh seperti yang ditunjukkan dalam perlawanan menentang PKNS FC, Sarawak dan Kelantan.

Joseph Kalang Tie, Matthew Alves dan Muhammadou Sumareh pastinya sekali lagi bakal menjadi mimpi ngeri Melaka United jika diberikan ruang dengan banyak seperti yang diterjemahkan dalam pertembungan lalu.

Apa pun, barisan kejurulatihan dan para pemain perlu meletakkan dalam minda mereka bahawa kemenangan itu bukan sesuatu yang mustahil, mampu dicapai jika kita benar-benar kepinginkannya.

Bawa pulang kemenangan dari 'habitat' gajah itu, kita lapah dan ambil gadingnya, mara ke suku akhir Piala FA.

Genderang perang sudah dipalu, kini yang tinggal hanyalah pahlawan Melaka membuktikan kehandalan pasukan dari selatan tanah air ini.

Jadikan kemenangan ini sebagai satu titik kebangkitan Melaka United musim ini, ayuh tawan Stadium Darul Makmur Sabtu ini!


Foto: MUSA
Powered by Blogger.