.

.

Sedia berkorban demi pasukan


KEPUTUSAN hambar yang dicatatkan Melaka United pada tiga aksi awal Liga Super perlu diperbaiki segera bagi mengelakkan pasukan daripada terus terjerumus ke dasar liga.

Selepas 10 tahun tidak beraksi di Liga Super, pasukan bimbingan Eric Williams itu masih lagi mencari tiga mata penuh selepas hanya mencatat dua seri dan satu kekalahan dalam tiga perlawanan sebelum ini.

Bagi penyerang Melaka United, Mohd. Amri Yahyah, apa yang penting ketika ini adalah membantu pasukan meraih kemenangan sulung.

Selain itu, Mohd. Amri yang juga kapten kebangsaan berkata, dia rela bermain di mana-mana posisi yang ditetapkan jurulatih, Eric Williams.

"Saya tidak kisah bermain dalam posisi mana sekalipun asalkan dapat membantu pasukan Melaka United menang pada aksi Liga Super.

"Saya hanya akan ikut apa yang diarahkanWilliams dan bersedia diletakkan di mana-mana sahaja," kata Amri kepada Bernama, semalam.

Penyerang berusia 36 tahun itu dalam pada itu berkata, paling penting ketika ini adalah membantu Melaka United mencatat kemenangan ke atas Sarawak di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching, Sabtu ini.

Pemenang Liga Super bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) itu turut berharap agar rakan sepasukan dapat membantunya pada perlawanan tersebut.

"Kita dah tidak boleh tunggu ataupun berlengah-lengah lagi. Kita juga tidak boleh buang mata lagi dan perlu segera membaiki kedudukan pasukan di carta  liga," katanya.

Melaka United berjaya mencatat kemenangan pertama dalam perlawanan kompetetif musim ini dalam aksi pusingan kedua Piala FA selepas menundukkan PKNS FC, 1-0 di Stadium Hang Jebat, Selasa lalu.

Foto: Utusan Online
Powered by Blogger.