.

.

Jadual padat beri tekanan kepada pasukan


KECEDERAAN. Inilah perkara yang sering membimbangkan mana-mana jurulatih apabila terpaksa melupakan tonggak utama kerana kecederaan yang dialami.

Masalah sama turut membelenggu ketua jurulatih Melaka United, Eric Williams apabila pasukannya terpaksa berdepan jadual perlawanan yang padat gara-gara penangguhan perlawanan menentang Kelantan, 21 Januari lalu.

Bercakap kepada Bernama, Williams mengakui kepadatan jadual perlawanan sedikit sebanyak memberi tekanan terhadap pasukannya terutama apabila pemain mengalami kecederaan dan kepenatan.

"Bagi menghadapi tekanan, kita perlu pastikan bahawa fizikal setiap pemain berada dalam keadaan baik dan bebas daripada kecederaan.

Selain itu, mereka perlu mengikuti lebih banyak latihan pemulihan agar sentiasa cergas apabila beraksi di padang," katanya.

Melaka United yang kini berada di kedudukan kedua tercorot Liga Super bakal berdepan Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, esok sebelum menentang Kelantan di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, tiga hari kemudian.

Ekoran kecederaan yang dialami beberapa pemainya, Williams memaklumkan bahawa pasukan bimbingannya terpaksa menunda sehari penerbangan ke Sarawak yang pada awalnya dijadualkan semalam.

"Beberapa pemain yang cedera tidak akan turun beraksi Sabtu ini kerana saya ingin pastikan mereka benar-benar pulih untuk beraksi untuk perlawanan yang akan datang," katanya.

Foto: Utusan Online
Powered by Blogger.