.

.

Melaka United perkenal jersi baharu 2017


SEPULUH tahun lalu menyaksikan kali terakhir Melaka beraksi di Liga Super 2006/07 selepas mengalami penyingkiran divisyen apabila terperosok di dasar liga dengan hanya mengutip sembilan mata sahaja.

Dari situlah bermula zaman kegelapan pasukan apabila gagal bangkit kembali ke liga utama negara itu dan akhirnya kelemasan di Liga Perdana yang akhirnya membawa kepada penyingkiran ke Liga FAM pada 2010.

Transformasi yang dilakukan pengurusan baharu di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron membawa perubahan besar kepada pasukan yang mana dalam empat tahun di Liga FAM hanya mampu menempatkan diri di kelompok pertengahan.

Kemasukan Ladislav Tatkovic mungkin tidak memberikan kesan kepada pasukan namun sentuhan ajaib yang dibawa Mat Zan Mat Aris mengangkat Melaka United sebagai juara berganda, Liga FAM pada 2015 dan Liga Perdana, pada tahun berikutnya,

Menoktahkan kembalinya Melaka United ke kancah liga utama negara ini, Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) semalam memperkenalkan jersi baharu yang akan digunakan pasukan sepanjang musim.

Masih utuh menggunakan jersi keluaran syarikat pengeluar barangan sukan Itali, Kronos, buat tahun ketiga berturut-turut, Melaka United menampilkan sedikit kelain kepada corak rekaan jersi.

MUSIM BAHARU... Inilah jersi yang bakal digunakan pasukan bagi menghadapi kempen Liga Malaysia musim ini,
Mengekalkan warna tradisi hijau-putih, pengurusan MUSA memilih untuk mengenakan corak belang melintang hijau-putih untuk jersi di halaman sendiri sementara menukar kepada warna biru-putih untuk jersi di gelanggang lawan.

Cuma pada tahun ini, terdapat perubahan pada perletakan penaja dengan Syarikat Edra Global Energy Bhd., Kumpulan CGN dan Syarikat TAG Marine Sdn. Bhd. muncul di bahagian hadapan jersi pasukan sementara logo Mamee Double-Decker Berhad di letakkan di bahagian belakang.

Jersi baharu Melaka United yang diperkenalkan malam tadi itu mendapat reaksi pelbagai daripada penyokong dengan rata-rata daripada mereka memuji rekaan tersebut.

Biar apa juga bentuk rekaan jersi Melaka United, diharapkan pasukan bimbingan Eric Williams ini mampu menampilkan aksi secantik jersi dalam kempen Liga Malaysia yang akan bermula 20 Januari ini.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.