.

.

Melaka United ikat juara Liga Kemboja


MELAKA UNITED mempamerkan semangat juang tinggi apabila dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat juara Liga Kemboja, Boeung Ket Angkor, 2-2, di Stadium Olimpik, malam tadi. 

 Tuan rumah terlebih dahulu berada di depan berpunca daripada gerakan sepakan percuma dari sebelah kiri gawang Melaka United yang dijaringkan Kheiv Vibol pada minit ke-28. 

Tidak sampai seminit selepas jaringan lawan, Melaka United kembali mengikat kedudukan menerusi ledakan penyerang berbisa, Ilija Spasojevic pada minit ke-30. 

Pada awal babak kedua menyaksikan Boeung Ket Angkor kembali berada di depan pada minit ke-48 menerusi hasil penyudah Sota. 

Ketika menuju penghujung permainan, penyerang import baharu, Sergio Aguero berjaya meledak jaringan penyamaan pada minit ke-84 bagi mengelakkan pasukan merekodkan kekalahan kedua dalam aksi pramusim. 

Banyak peningkatkan dipamerkan pemain dalam aksi persahabatan terakhir menentang juara liga Kemboja ini terutama gandingan mantap Aguero dan Spasojevic. 

Jelajah Kemboja ini merupakan medan terbaik kepada semua pemain untuk mencari keserasian sekali gus membentuk pasukan yang mantap bagi menghadapi musim baharu Liga Super. 

Sepanjang hampir seminggu di Kemboja, Melaka United merekodkan satu kemenangan, satu kekalahan dan satu seri. 

Aksi anak buah Williams di sana bermula dengan kekalahan apabila tunduk 1-3 kepada Amy FC sebelum bangkit menewaskan Asia Euro FC, 3-0 dan berjaya mengikat juara liga, Boeung Ket Angkor, 2-2. 

Pemain-pemain Melaka United dijangka bertolak pulang ke tanah air hari ini bagi mengharungi aksi persahabatan sebelum memulakan kempen Liga Super menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV pada 21 Januari ini.

Foto: MUSA



Powered by Blogger.