.

.

Jelajah Kemboja bermula dengan langkah kiri


BERTENANG dan terus sokong pasukan. Itu sikap yang sewajarnya ditunjukkan penyokong Melaka United selepas menyaksikan pasukan bimbingan Eric Williams itu tunduk mudah 1-3 kepada naib juara Metfone Liga Kemboja, Army FC di Stadium Olimpik, malam tadi.

Perlu diingatkan bahawa Williams sebelum ke Kemboja pernah memberitahu bahawa siri jelajah ke negara berkenaan adalah medan kepada setiap pemain untuk membuktikan potensi masing-masing sekali gus meraih tempat dalam kesebelasan utama pasukan untuk kempen Liga Super tahun ini.

Diawal pramusim, sememangnya lumrah jika pemain belum mempamerkan aksi sebenar apatah lagi ada diantara mereka yang baharu sahaja kembali pulih daripada kecederaan panjang.

Jika hendak dibandingkan dengan permulaan pramusim tahun lalu sebenarnya apa yang berlaku dalam aksi pertama semalam tidak ubah seperti perlawanan pemanas badan di bawah kendalian bekas jurulatih, Mat Zan Mat Aris apabila Melaka United tunduk 0-2 kepada Ho Chin Minh City dan kemudiannya dibelasah Dong Tam Long An FC (4-0).

Usah mudah cepat melatah melihat aksi pemain biarpun jelas rata-rata daripada mereka masih tercari-cari rentak bersama pasukan baharu sehingga menterjemahkan aksi longlai sepanjang perlawanan.

KAWAL... Mohd. Akmal Ishak cuba melepasi kawalan pertahanan Army FC dalam aksi persahabatan malam tadi.
Ketiadaan pemain berpengaruh di bilik persalinan, Ilija Spasojevic yang direhat Williams jelas menampakkan kelompongan di bahagian serangan namun dari sudut positifnya, pemain-pemain lain seperti Nurshamil Abdul Ghani, Izzat Faris Ramlan, Segio Aguero dan Mohd. Fauzi Roslan sewajarnya menggunakan peluang ini untuk menarik perhatian jurulatih.

Dalam aksi di Stadium Olimpik itu, Army FC selesa 2-0 di hadapan sebelum waktu rehat menerusi jaringan Ro Hyok Chul pada minit ke-25 dan Rouerm Chann (39'). 

Tuan rumah berjaya memperoleh gol ketiga pada minit ke-80 hasil jaringan ke Vannak sebelum Nurshamil menyumbangkan gol tunggal pelawat empat minit sebelum wisel penamat dibunyikan.

Dalam pada itu, Williams berkata, keputusan perlawanan tidak penting sebaliknya misi beliau adalah mencari keserasian dalam kalangan pemain untuk merebut kesebelasan utama.

Kata bekas pengendali Yangon United di Myanmar itu, beberapa pemain import tidak diturunkan kerana kurang sihat sementara Omid Nazari pula hanya beraksi beberapa minit pada babak pertama kerana baharu pulih daripada keracunan makanan.

Williams dijangka bakal menggunakan kesebelasan yang berbeza untuk aksi menentang Cambodian Tigers malam ini bagi menguji pemain-pemainnya. Ayuh gegaukan Kemboja!

Foto: MUSA


Powered by Blogger.