.

.

Aksi Melaka United-Tiger FC dibatalkan


PERLAWANAN kedua jelajah pramusim Melaka United di Kemboja menentang Cambodian Tiger Football Club yang dijadualkan berlangsung petang semalam dibatalkan.

Skuad bimbingan Eric Williams itu sepatutnya bertemu Tiger FC di Stadium Olimpik untuk meneruskan aksi pramusim sebagai persiapan sebelum bermulanya kempen Liga Super 2017.

Kedua-dua pasukan menerusi kenyataan dalam akaun Facebook masing-masing petang semalam bagaimanapun tidaka menyatakan punca kenapa aksi tersebut dibatalkan.

Pengumuman lewat tersebut bagaimanapun mengundang kemarahan segelintir penyokong tuan rumah yang lebih awal hadir ke stadium.

Melaka United kini dalam rangka jelajah Kemboja selama lebih 10 hari dengan empat perlawanan persahabatan diatur di sana menentang Army FC, Tiger FC, Nagaworld FC dan Police FC.

Dalam aksi persahabatan pertama menentang naib juara Metfone Liga Kemboja, Army FC kelmarin, Melaka United tunduk 1-3 dengan gol tunggal pelawat dijaringkan Nurshamil Abd. Ghani pada minit ke-86.

Selepas ini, anak buah Williams akan meneruskan aksi menentang Nagaworld FC pada 8 Januari sebelum menamatkan aksi jelajah menentang Police FC sehari kemudian.

Juara Liga Perdana musim lalu itu akan membuka kempen Liga Super menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 21 Januari ini.
Powered by Blogger.