.

.

Rombakan, langkah tepat atau sebaliknya?

Sudah menjadi lumrah bagi mana-mana pasukan yang baharu dipromosikan melakukan rombakan bagi mengukuhkan pasukan agar dapat bersaing dalam liga yang lebih mencabar.

Itulah merupakan langkah yang bakal diambil Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) yang bercadang melakukan rombakan menyeluruh dalam pasukan bagi memastikan Melaka United ampuh di Liga Super.

Namun, disebalik keghairahan melakukan rombakan dengan membawa beberapa muka baharu ke dalam pasukan, pengurusan tertinggi MUSA perlu menilai kembali beberapa perkara penting bagi memastikan rombakan yang bakal dilakukan tidak akan menjejaskan moral di bilik persalinan.


Memetik laporan Kosmo! semalam, Presiden MUSA, Datuk Seri Ir. Idris Haron berkata, laporan penuh mengenai rombakan hanya akan diserahkan kepada Ketua Menteri Melaka itu sebelum perlawanan terakhir menentang Sime Darby FC.

“Saya telah memaklumkan kepada pihak pengurusan pasukan supaya melihat secara terperinci kebolehan dan keupayaan semua pemain. Ada pemain yang bakal ditawarkan tempat yang lebih baik pada musim hadapan, mungkin Melaka United yang terbaik, kita tak tahu.

“Terserah kepada mereka (pemain), kita tidak menghalang mereka untuk memilih kerjaya yang lebih baik. Di pihak kita, sudah pasti mahukan sesuatu yang lebih baik daripada hari ini,” katanya kelmarin.

Dalam pada itu, menurut sumber, Melaka United bakal berbelanja besar musim depan dengan membawa masuk beberapa nama besar yang juga merupakan pemain kebangsaan.

Kedudukan jurulatih, Mat Zan Mat Aris juga dilaporkan bagai telur dihujung tanduk dengan bekas pengendali Felda United, Irfan Bakti Abu Salin disebut-sebut bakal mengambil alih pasukan Melaka United musim depan.

Ini kerana menurut sumber, kontrak Mat Zan ketika mula membimbing Melaka United adalah satu campur satu dan dilaporkan kontrak bekas pengendali Terengganu itu bakal tamat hujung musim ini.


Selain itu, dalam keterujaan melakukan rombakan, MUSA perlu memastikan pemain import yang juga kapten pasukan, Ilija Spasojevic ditawarkan kontrak baharu selepas khabar bertiup kencang mengenai perpindahannya ke beberapa pasukan Liga Super lain.

Pemain-pemain yang memberi pengaruh besar dalam bilik persalinan juga perlu dikekalkan bagi memastikan moral pasukan sentiasa berada di tahap tertinggi.

Dalam pada itu, beberapa penyokong Melaka United turut menyatakan kegusaran mengenai hasrat rombakan yang cuba dilakukan MUSA.

Mereka berpendapat rombakan yang dilakukan perlu diteliti sebaik mungkin dan tidak perlu secara besar-besaran kerana boleh menjejaskan persefahaman antara pemain, pasukan kejurulatihan dan pengurusan tertinggi.

Penyokong tidak mahu sikap terburu-buru pengurusan bakal menjejaskan prestasi pasukan musim hadapan dan tidak mahu apa yang berlaku kepada pasukan seperti Pulau Pinang, Sarawak dan beberapa pasukan lain.

Perkara sama juga pernah dilakukan Melaka United pada musim 2007 apabila melakukan rombakan besar-besaran yang akhirnya memakan diri menyaksikan pasukan kembali mengalami penurunan divisyen.

Foto: FB MUSA
Powered by Blogger.