.

.

Kebangkitan Spasojevic lonjak Melaka United


Ilija Spasojevic. Satu nama yang semakin digeruni pertahanan di liga Malaysia walaupun ketika penyerang berusia 29 tahun itu menandatangani kontrak bersama Melaka United, namanya begitu asing di negara ini.

Pemain berasal dari Montenegro itu cemerlang dalam aksi pramusim bersama pasukan bimbingan Mat Zan Mat Aris sekali gus mencetuskan harapan Melaka United mampu bersaing dalam Liga Perdana selepas lebih lima tahun beraksi di liga kelas ketiga, Liga FAM.

Diberikan lilitan kapten pasukan, Spasojevic atau lebih dikenali sebagai Spasogol ketika bersama Persib Bandung membuat debut aksi kompetetif buat Melaka United ketika menentang Sime Darby FC.

Tidak semudah yang dijangka, Spasojevic dilihat berdepan kemarau jaringan sehingga menimbulkan persoalan kredibiliti penyerang yang pernah buat beraksi itu kelab Georgia, Dinamo Tbilisi itu.

Menurut Spasojevic, detik sukar yang dialaminya itu menuntut dirinya untuk terus bekerja keras dan sabar bagi mengembalikan ketajaman penyudah yang dimilikinya.

"Memang di awal musim saya berdepan kesulitan menjaringkan gol dan itu bukanlah satu masa yang mudah untuk saya.

"Tetapi saya tetap sabar dan percaya diri, akhirnya berjaya meledak 24 gol dalam 12 perlawanan terakhir saya," katanya ketika dihubungi Melaka United Media semalam.

SEMANGAT... Spasojevic mengharapkan sokongan berterusan daripada penyokong Melaka United. 
Mengulas lanjut, Spasojevic berkata, tiada rahsia atas kemampuannya mengembalikan rentak permainan dan penyudah yang berkesan.

Katanya ketua pasukan Melaka United itu, semua ini terhasil daripada permainan berpasukan dan bantuan daripada rakan-rakan.

"Tidak ada rahsia. Rakan-rakan sepasukan bermain sangat bagus dan saya dapat menjaringkan banyak gol kerana hasil usaha luar biasa mereka.

"Tanpa hantaran dan umpanan yang baik, agak mustahil untuk saya jaringkan banyak gol. Saya bangga dapat menjadi sebahagian dari pasukan ini dan kami sememangnya seperti keluarga," katanya.

Dalam pada itu, Spasojevic melaungkan keyakinan pasukan Melaka United mampu menjuarai Liga Perdana.

Namun, katanya, sokongan berterusan peminat diperlukan sebagai pemain ke-12 bagi memberikan semangat dan sokongan moral kepada pasukan.

"Kami percaya akan menjadi juara Liga Perdana. Terima kasih atas sokongan yang diberikan, ayuh kembalikan semula kegemilangan!" ujarnya.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.