.

.

Akhiri kempen Piala Malaysia dengan kemenangan


Semangat juang para pemain Melaka United dalam kempen Piala Malaysia wajar diberikan pujian selepas berjaya menewaskan Terengganu, 2-0, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Namun, kemenangan tersebut gagal membantu pasukan bimbingan Mat Zan Mat Aris itu ke peringkat seterusnya selepas Negeri Sembilan menundukkan Felda United, 2-0, dalam satu lagi aksi kumpulan D.

Turun tanpa penyerang prolifik, Ilija Spasojevic, jentera serangan pelawat diketuai anak tempatan, Nurshamil Abd. Ghani yang digandingkan bersama Yashir Pinto bagi merobek pertahanan lawan.

Melaka United terpaksa membayar kemenangan ini dengan harga yang mahal apabila jeneral tengah, Labinot Harbuzi terpaksa dikeluarkan seawal minit kelima akibat kecederaan.


Terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, pemain gantian, Saiful Mustafa memecah kebuntuan pada minit ke-59.

Pemain tengah, Ahmad Ezrie Shafizie menggandakan jaringan Melaka United pada minit ke-77 sekali gus mengesahkan kemenangan pelawat di Kuala Terengganu.

Keputusan itu meletakkan Melaka United di tangga ketiga kumpulan D Piala Malaysia dengan sembilan mata daripada enam perlawanan, tiga mata di belakang Negeri Sembilan dan Felda United.

Dengan ini berakhirlah kempen Piala Malaysia Melaka United namun ianya bukanlah satu titik noktah tetapi adalah pengalaman untuk bangkit memberi saingan pada musim depan selepas lebih enam tahun menyepi daripada kejohanan berprestij ini.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.