.

.

Slot Liga Super dalam genggaman


Hanya satu mata lagi diperlukan Melaka United bagi mengesahkan slot ke Liga Super selepas mencatat kemenangan tipis, 1-0, ke atas Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Selesa mendahului carta Liga Perdana dengan jurang besar, lapan mata dan berbaki tiga perlawanan, Melaka United dijangka mengesahkan laluan ke Liga Super sekiranya seri atau menundukkan seteru utama, JDT II, pada 9 September depan, sekali gus menobatkan Melaka United sebagai juara.

Segalanya kini terletak di tangan pemain bagi memastikan kejuaraan lebih awal menentang JDT II atau terpaksa menunggu dalam dua perlawanan terakhir menentang PKNS FC dan Sime Darby FC.

Di Paroi, segalanya tampak kurang menjadi buat Melaka United pada babak pertama apabila gagal mencipta gerakan berbahaya mengancam kubu lawan.

Turun tanpa dua tonggak import, Labinot Harbuzi dan Ilija Spasojevic yang mengalami kecederaan, Negeri Sembilan dilihat mendominasi pada 25 minit pertama perlawanan menerusi gerakan-gerakan dari sebelah sayap.


Berjaya menyerap tekanan, Melaka United akhirnya mengimbangi perlawanan namun gagal mendapatkan sebarang gol pada babak pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan pasukan pelawat menguasai perlawanan namun ketumpulan jentera serangan yang diketuai Yashir Pinto dan Nurshamil Abd. Ghani gagal menjelmakan jaringan.

Ketika perlawanan seakan berkesudahan seri tanpa jaringan, R. Surendran muncul wira Melaka United apabila menyudahkan hantaran silang G. Puaneswaran pada minit ke-79 bagi memberikan pelawat gol tunggal perlawanan.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.