.

.

Semangat juang tinggi sebelum tumpas di Jengka


Skuad 'kedua' Melaka United mempamerkan semangat juang tinggi sebelum tewas tipis, 1-2 kepada pasukan Liga Super, Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi.

Tidak meletakkan sebarang sasaran bagi kempen Piala Malaysia, jurulatih, Mat Zan Mat Aris melakukan rombakan besar dalam kesebelasan utama termasuk merehatkan tiga tonggak import pasukan itu termasuk penjaring terbanyak, Illija Spasojevic.

Sementara itu, Yashir Pinto diberikan lilitan kapten pasukan dan digandingan bersama anak jati Melaka, Nurshamil Abd. Ghani yang kembali selepas berehat panjang akibat kecederaan.

Ulang dan terus mengulangi 'penyakit' sama, Melaka United sekali lagi membiarkan gawang mereka dibolosi dalam 10 minit pertama perlawanan apabila penyerang berbisa Felda United, Francis Forkey Doe berjaya meledak gol pertama pada minit kesembilan.

Namun, kegembiraan itu tidak lama apabila Melaka United menyamakan kedudukan menerusi jaringan Nurshamil pada minit ke-11 yang juga merupakan gol pertamanya dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Forkey Doe kembali menceriakan penyokong tuan rumah menerusi jaringan keduanya dalam perlawanan itu pada minit ke-17. 


Tiada sebarang jaringan terhasil di babak kedua sekali gus memberikan tuan rumah kemenangan berharga bagi melangkah ke pusingan suku akhir Piala Malaysia. 

Kekalahan ketiga berturut-turut Melaka United dalam kempen Piala Malaysia musim ini meletakkan pasukan itu di tangga ketiga dalam kumpulan D dengan tiga mata, berkongsi mata dengan Terengganu di tangga keempat.

Peluang Melaka United melayakkan diri ke peringkat seterusnya semakin tertutup, perlu menang baki dua perlawanan terakhir sambil mengharapan Negeri Sembilan keciciran mata.

Foto: MUSA

Powered by Blogger.